Ibubapa Menghalang Pilihan Hati

Soalan: 
Ibubapa amat tidak mempersetujui pilihan gadis yang ingin saya kahwini dengan alasan gadis pilihan saya ini kurang baik dan mereka pasti jodoh saya dengan gadis ini tidak panjang. Jika saya meneruskan juga niat saya maka mereka akan menganggap saya anak derhaka, bukan anak mereka lagi dan ibu saya tidak akan reda apa yang saya lakukan dunia dan akhirat. 

Saya juga pernah berkata supaya kepada kedua ibubapa agar dapat saya mempertemukan gadis pilihan hati saya ini kepada mereka tetapi mereka enggan. Sudah 2 tahun saya bersabar tetapi keadaan masih tidak berubah. Pilihan terakhir yang mereka berikan kepada saya ialah tinggalkan gadis itu (tanpa alasan yang kukuh) atau saya anak derhaka? 
 

Jawapan: 
Dalam sebuah hadis yang sahih menjelaskan apabila seorang lelaki yang sekufu dengan seseorang perempuan datang meminang perempuan itu, tetapi ditolak oleh keluarganya oleh sebab yang tidak konkrit pada pandangan syarak, akan berlakulah fitnah yang amat dahsyat selepas itu. Daripada hadis ini kita dapat simpulkan apabila seorang lelaki sudahpun kufu dengan seorang perempuan, maka pihak keluarga hendaklah mengambil langkah mengahwinkan mereka berdua segera. 

Jika mereka tidak berbuat demikian akan pasti berlaku kerosakan yang amat dahsyat dalam masyarakat. Amat tidak wajar kepada ibubapa menuduh anaknya sebagai anak derhaka apabila ia tidak mahu mengikut pilihan orang tuanya, jika pilihan anaknya sendiri itu sudahpun kufu dari pandangan Islam. Jodoh pertemuan sebenarnya di tangan tuhan. Tiada seorangpun yang berhak menentukan yang jodoh si fulan itu tidak panjang. Kerana tidak ada seorangpun yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah. 

Sepatutnya setiap ibubapa ,mengambil sikap optimis dengan pilihan anaknya dan membaiki mana yang kurang pada menantunya, apalagi di zaman sekarang ini zaman di mana kerosakan akhlak muda mudi Islam cukup ketara. Dalam kes ini saudara yang bertanya dikehendaki membuat aduan kepada Qadi, supaya qadi boleh menggunakan kira bicaranya untuk berbincang dengan keluarga bagi menyelesaikan kes ini. 

Jika benar-benar gadis yang bakal dikahwini itu fasik dan kurang kufu dan ibubapa terlibat pula memang mempunyai pilihan yang sesuai dan kufu dengan anaknya, adalah lebih baik kepada yang terlibat menerima pilihan ibubapa ini dan menyerahkan seterusnya kepada Allah SWT. Boleh jadi sesuatu yang kita benci itu akan menjadi kebaikan kepada kita dan boleh jadi perkara yang kita suka mendatangkan kecelakaan kepada kita. Sila rujuk buku Permata Idaman Mutiara Syurga 'Lelaki Soleh' DN 105